Advertisement

Malaysia

Satu kewajipan: Tragedi dahsyat mendorong dua rakan ini menderma darah ratusan kali  

Dalam tragedi 45 tahun lalu, 76 orang terbunuh dan puluhan yang lain cedera selepas satu letupan atas kapal tangki minyak Spyros di Limbungan Kapal Jurong. CNA menemu bual dua orang tentang bagaimana kemalangan industri terburuk di Singapura itu menyebabkan mereka menjadi penderma darah, bukan sekali dua, malah ratusan kali. 

Satu kewajipan: Tragedi dahsyat mendorong dua rakan ini menderma darah ratusan kali  
Gerard Thomasz (kiri) telah menderma darah lebih  300 kali, manakala Cornelius Pang menjadi penderma darah lebih 120 kali. Mereka berdua menderma darah buat kali pertama selepas letupan industri atas kapal Spyros pada 12 Oktober 1978. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)
02 Nov 2023 12:00PM (Updated: 02 Nov 2023 12:05PM)

SINGAPURA: Ia satu kewajipan - itulah yang diungkapkan oleh Encik Gerard Thomasz, 63 tahun, apabila dia bercakap tentang pendermaan darah.

Seorang veteran penderma darah untuk lebih 300 kali – atau secara puratanya satu pendermaan setiap bulan selama 25 tahun – dia lebih memahami perkataan itu daripada kebanyakan orang.

Dia adalah antara ratusan orang yang beratur di luar Hospital Besar Singapura pada 13 Oktober 1978 untuk menderma darah selepas berlakunya kemalangan industri terburuk di Singapura.

Sehari sebelumnya, satu letupan di atas kapal tangki minyak Yunani, Spyros di Limbungan Kapal Jurong telah membunuh 76 orang dan menyebabkan puluhan yang lain cedera.

Letupan itu, yang berlaku di bawah tempat tidur yang dipenuhi anak kapal, memecahkan sebahagian besar kapal itu. Apabila minyak dan air membanjiri kapal, api mula merebak ke bilik enjin dan bilik dandang.

Selepas letupan itu, para pekerja di bahagian limbungan cuba melompat ke atas kapal untuk menyelamatkan rakan-rakan mereka.

Sejumlah 57 orang terkorban pada hari letupan itu, kebanyakannya akibat kelecuran yang teruk, keracunan karbon monoksida, sesak nafas, lemas atau komplikasi lain.

Lebih 80 orang yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Alexandra dan Hospital Besar Singapura. Daripada jumlah itu, 19 meninggal dunia akibat kecederaan mereka.

Apabila berita mengenai kejadian itu tersebar, ramai keluarga menunggu di luar hospital untuk mendapat berita tentang ahli keluarga masing-masing.

Begitu juga ratusan yang lain pula tampil untuk menderma darah, sementara doktor dan kakitangan perubatan bekerja mengejar masa untuk merawat yang cedera.

Anggota tentera beratur untuk menderma darah selepas letupan dan kebakaran kapal Spyros menyebabkan puluhan orang cedera pada 12 Oktober 1978. (Gambar: koleksi MOH/Arkib Negara)

TANGISAN DAN RATAPAN  

Encik Thomasz dan Encik Cornelius Pang – kedua-duanya ketika itu pelatih dalam Angkatan Udara Republik Singapura – sedang tidur di kem mereka apabila penggera berbunyi pada kira-kira 4 pagi. 

Beratus-ratus askar berkumpul dan dibawa ke Hospital Besar Singapura, walaupun maklumat tentang letupan belum sampai ke sebahagian daripada mereka.

“Kami menyangka bahawa ia satu bencana, kami mula bercakap mengenainya, berbincang betapa buruknya (bencana itu),” kata Mr Thomasz, yang bakal menyambut hari jadinya ke 18 dalam beberapa hari lagi pada masa itu.

"Kemudian kami mendengar di radio betapa teruknya keadaan masa itu ... ia memang sangat cemas."

Walaupun hanya beberapa hari lagi sebelum hari lahirnya, dia dibenarkan menderma darah kerana bekalan semakin berkurangan. Pada masa itu, hanya mereka yang berusia 18 tahun ke atas dibenarkan menderma.

"Ia sesuatu yang membuka mata saya kerana saya belum pernah pergi ke bank darah sebelum ini, itu adalah kali pertama," katanya.

Kad derma darah Gerard Thomasz yang menunjukkan pendermaan pertamanya pada 13 Oktober 1978 – sehari selepas bencana Spyros. (Gambar: Gerard Thomasz)

Melihat orang ramai menunggu di hospital untuk mendengar berita tentang orang yang tersayang membuat Encik Pang menyedari betapa teruknya situasi itu.

"Saya menyedari, ia pasti sesuatu yang ... amat dahsyat kerana terdapatnya ramai orang, dengan ada yang berkeliaran sana sini, termasuk saudara-mara mangsa," Encik Pang teringat.

"Saya masih ingat saya pergi melihat sekitar dan saya masuki ke bilik mayat tanpa menyedarinya.

"Saya ternampak mayat yang terbakar dan ia sangat mengerikan, benar-benar mengerikan."

Kengerian melihat mayat yang terbakar itu terpahat dalam ingatannya sehinggalah ke hari ini.

"Jika saya memejamkan mata, saya masih boleh mengingati coretan-coretan itu dengan jelas. Malah, saya mempunyai fobia selepas itu apabila saya (kembali ke hospital tersebut), kerana anda tidak pernah melihat mayat seperti itu ... Dan kemudian anda mendengar tangisan dan ratapan orang yang tersayang."

Encik Pang, yang telah menderma darah lebih 120 kali sejak hari itu, berkata bahawa dia merasa itu adalah perkara yang betul untuk dilakukan dan "sesuatu di dalam diri saya yang mendorong saya" untuk terus melakukannya.

Keluarga dan rakan-rakan menunggu di luar hospital selepas letupan Spyros mengorbankan 76 orang dan menyebabkan berpuluh-puluh cedera pada 12 Oktober 1978. (Gambar: koleksi MOH/Arkib Negara)

Ramai orang telah tampil ke depan untuk menyahut  panggilan menderma darah selepas letupan itu, kata Encik Prakash Menon, pengarah kumpulan program penderma darah Palang Merah Singapura. 

Itulah "minda Singapura", katanya. 

“Apabila mereka tahu (kami) memerlukan bantuan, mereka datang beramai-ramai. 

"Selepas (peristiwa) itu, ramai di antara mereka masih terus menderma darah."

Prakash Menon, pengarah kumpulan program penderma darah Palang Merah Singapura. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

MENDERMA DARAH 300 KALI

Encik Thomasz, yang kini sudah bersara, adalah antara sebilangan kecil penderma di Singapura yang telah menderma darah lebih daripada 300 kali. 

Walaupun pendermaan pertamanya adalah pada masa yang sangat diperlukan, ratusan pendermaan seterusnya adalah secara sukarela. Dia juga diilhamkan oleh bapanya yang telah menderma darah berpuluh-puluh kali. 

"Saya perlu menjalankan kewajipan saya, saya tidak pernah terfikir berapa banyak darah saya yang boleh digunakan, untuk tujuan apa dan untuk siapa," katanya.

Dia mula membuat pendermaan darah penuh – yang hanya boleh dilakukan sekali setiap tiga bulan – sebelum beralih kepada pendermaan apheresis, yang boleh dilakukan setiap bulan. 

Apheresis adalah proses automatik di mana mesin mengambil darah daripada penderma, dan mengeluarkan plasma, platelet atau sel merah, sebelum mengembalikan baki komponen kepada penderma.

Ia mengambil masa yang lebih lama, dengan setiap pendermaan mengambil masa 45 minit hingga satu setengah jam. 

Kini, Encik Thomasz biasanya akan bertemu dengan rakan-rakan atau bekas rakan sekerja dan mereka akan pergi ke bank darah bersama-sama untuk "melaksanakan tugas kami". 

Beliau menambah: "Jika terkenang kembali, saya rasa ia adalah perjalanan yang berbaloi. Memberi kembali kepada masyarakat adalah sebahagian daripada saya ... Saya boleh memberi macam itu sahaja tanpa sebarang syarat.

Encik Pang, yang akhirnya mengenali Encik Thomasz, berkata bahawa menderma darah telah menjadi satu kebiasaan.

"Saya melihatnya dari sudut lain ... Anda beri,  mereka hidup. Anda tidak beri, mereka mati. Ia memang sesuatu yang tidak sedap didengar, tetapi itulah hakikat yang sebenar," katanya.

Tahap bekalan darah 

Di Singapura, darah diperlukan setiap hari, bukan hanya untuk mereka yang mengalami kecederaan atau pembedahan, tetapi juga bagi mereka yang mengalami kerosakan darah atau keadaan perubatan lain.

Kira-kira 54 peratus penggunaan darah di Singapura adalah untuk pembedahan, manakala 31 peratus digunakan untuk perubatan am. Kira-kira 9 peratus digunakan oleh mereka yang mempunyai penyakit darah, dan 6 peratus digunakan untuk kemalangan dan kecemasan.

Apabila bekalan darah mencapai tahap kritikal, pembedahan elektif terpaksa ditangguhkan untuk mengekalkan stok bagi kecemasan penyelamatan nyawa

Ini adalah tahap bekalan darah semasa pada 13 Oktober: 

Rendah: O +, AB-

Sederhana: B-

Mencukupi: A +, B +, AB +, A-, O-

Menurut Penguasa Sains Kesihatan, Kumpulan O adalah jenis darah universal untuk pemindahan sel merah. Ia digunakan semasa kecemasan apabila kumpulan darah pesakit tidak diketahui.

Collapse

Ada kalanya bekalan darah di Singapura menurun hingga ke tahap rendah atau kritikal.

Apabila ia mencecah tahap kritikal, ini bermakna bekalan kurang daripada enam hari dan hanya mencukupi untuk kes-kes kecemasan sahaja. 

Satu-satunya cara Singapura boleh menambah stok darahnya ialah melalui pendermaan.

MASYARAKAT SEMAKIN MENUA 

Walaupun ramai orang tampil membantu untuk menambah bekalan darah semasa kecemasan dan semasa pandemik COVID 19, jumlah ini menurun secara mendadak pada masa-masa biasa. 

Hari ini, kira-kira 1.8 peratus penduduk Singapura menderma darah. 

Menjelang 2030, hampir satu daripada empat rakyat Singapura akan berusia lebih 65 tahun. Dengan penuaan penduduk yang semakin pesat, permintaan terhadap darah akan semakin meningkat.

Apabila negara sampai ke tahap itu, 1.8 peratus tidak akan mencukupi, kata Encik Menon. 

"Buat masa ini, ia masih boleh diurus. Tetapi dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, anda akan melihat penggunaan darah semakin meningkat, oleh itu kita memerlukan lebih ramai penderma untuk tampil ke hadapan," katanya.

"Kita mesti melepasi 2.5 peratus hingga 3 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang." 

Namun, terdapat tanda-tanda yang positif - daripada jumlah penderma darah di Singapura, kira-kira 17 peratus adalah belia berusia 16 hingga 25 tahun. 

Palang Merah Singapura sedang bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mendidik golongan muda supaya mereka memahami kepentingan menderma darah dan menjadikan pendermaan sebagai "pilihan gaya hidup".

Encik Menon memanggilnya sebagai "tanggungjawab sosial bagi semua orang".

Ini adalah pandangan yang dikongsi bersama Encik Pang.

"Pokoknya, ada orang akan memerlukan darah anda. Selain itu, jika anda melihatnya dari sudut lain,  kemungkinan anda atau orang yang disayangi anda, akan memerlukan darah. Kita tidak tahu semua ini,“ katanya.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris di sini. 

Source: CNA/ih

Advertisement

Also worth reading

Advertisement