KUALA LUMPUR: Malaysia akan cuba berbincang dengan Singapura untuk mengekalkan perkhidmatan tren ulang-alik Shuttle Tebrau antara Johor Bahru Sentral dan Woodlands selepas Sistem Link Transit Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura mula beroperasi.
Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata pada Khamis (26 Okt) bahawa penamatan perkhidmatan ulang-alik itu adalah salah satu syarat yang dipersetujui antara Malaysia dan Singapura dalam melaksanakan projek RTS.
"Saya sendiri merasakan bahawa memang tidak salah kalau kita ada lebih banyak kesalinghubungan antara kedua-duanya negara... itu memberi pilihan kepada penumpang.
"Justeru, Kementerian Pengangkutan akan berusaha untuk merundingkan perkara ini dengan Singapura supaya perkhidmatan ini dikekalkan walaupun selepas RTS mula beroperasi,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Encik Loke berkata demikian dalam jawapannya kepada soalan tambahan Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat sama ada perkhidmatan ulang-alik antara Johor Bahru Sentral dan Woodlands akan dikekalkan selepas RTS memulakan operasi.
RTS Link bertujuan untuk menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands di Singapura, yang boleh menampung 10,000 penumpang sejam setiap perjalanan untuk membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Koswe Woodlands.
Terowong RTS Link akan bersambung ke sebatang jejambat setinggi 25m di atas Selat Johor, yang menghubungkan stesen di Woodlands North, Singapura dengan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru.
Bangunan pemeriksaan CIQ (kastam, imigresen, kuarantin) kedua-dua negara akan ditempatkan bersama di stesen Woodlands North dan Bukit Chagar. Ia bermakna para penumpang hanya perlu melalui pemeriksaan imigresen sekali sahaja dari stesen di mana mereka berlepas.