Ibu bapa dan penjaga kadangkala menggunakan kekerasan untuk meminta kanak-kanak, terutamanya yang masih kecil, mematuhi arahan. Berikut beberapa petua pakar dalam menangani kanak-kanak yang tidak patuh arahan.
SINGAPURA: Ia mungkin kerana tingkah laku anak kecil anda yang melepaskan geram kerana tidak dapat aiskrim yang diinginkan. Atau mungkin kerana si kecil mengambil masa terlalu lama untuk memakai kasut sedangkan bas sekolahnya hampir tiba.
Biasanya, anda akan terus bertindak dengan melakukan sesuatu supaya anak anda mematuhi arahan anda: Anda mungkin menarik lengannya supaya dia keluar dari kedai, atau anda dengan bergegas menariknya dari kerusi supaya dia cepat berdiri.
Apakah tingkah laku keras anda itu bakal meninggalkan kesan jangka panjang kepada anak anda? Apakah cara yang betul untuk mendisiplinkan mereka apabila mereka tidak mahu mendengar atau sengaja berdegil.
“Berlaku kasar terhadap seseorang termasuk perbuatan seperti memegang atau menyentuhnya dengan kekerasan, untuk membuatnya ke suatu tempat atau melakukan sesuatu,” kata Terri Chen, ketua dan pakar psikologi kanan, Pasukan Psikologi, Jabatan Perubatan Psikologi, Hospital Universiti Nasional (NUH). .
“Ia biasanya berlaku apabila orang dewasa mempunyai jangkaan yang tidak dapat dipenuhi oleh kanak-kanak ketika dalam keadaan tergesa-gesa yang memerlukan pematuhan segera. Dalam keadaan sedemikian, orang dewasa pun mungkin berasa tertekan dengan rasa kecewa, marah atau resah.”
Kanak-kanak yang lebih kecil besar kemungkinan mengalami kekasaran dibandingkan dengan mereka yang lebih tua, kata Chen. Ini mungkin disebabkan oleh kerana mereka lebih sukar untuk memahami dan mematuhi arahan. Mereka juga biasanya tidak berupaya untuk menjelaskan dengan nyata apa yang mereka inginkan.
Akibatnya, layanan kasar yang dilakukan oleh orang dewasa untuk menghuraikan sesuatu permasalahan, boleh membawa kepada tindakan disiplin fizikal jika apa yang disuruh tidak dipatuhi, katanya.
Tingkah laku sukar seseorang kanak-kanak boleh menyebabkan ibu bapa mengambil tindakan fizikal sebagai tindak balas. Kadang-kadang, ia mungkin persepsi ibu bapa itu bahawa hanya tindakan kasar mereka boleh menjadi disiplin yang sangat diperlukan.Memetik kajian Persatuan Kanak-Kanak Singapura dan Kolej Yale-NUS, Chen berkata bahawa hampir 45 peratus ibu bapa didapati menggunakan tindakan kasar sebagai satu cara disiplin.
Memandangkan ada ibu bapa yang tidak menganggap hukuman fizikal sebagai satu penganiayaan, kemungkinan ada ibu bapa yang "tidak menganggap penggunaan kekasaran sebagai tidak bersesuaian".
Salah satu sebab ibu bapa mungkin bertindak kasar dalam menangani tingkah laku anak-anak mereka adalah kerana mereka menganggap tingkah laku anak mereka itu sebagai perbuatan memberontak. kata Dr Chin Zhen Hui, ahli psikologi utama dengan Jabatan Perubatan Psikologi, Pasukan Psikologi NUH.
“Tingkah laku salah anak-anak boleh menjadikan si ibu bapa rasa tidak tenteram atau kelemahan mereka terdedah, seperti beranggapan: ‘Saya ibu bapa yang tidak baik’ atau ‘Saya tidak cukup baik’. Apabila seseorang itu dipenuhi dengan emosi negatif, sukar untuknya menangani situasi dengan sewajar,” katanya.
Apabila ibu bapa melayan anak-anak mereka secara kasar, ia memberi gambaran bahawa masyarakat boleh menerima tindakan sedemikian jika dilakukan oleh ibu bapa sendiri, tetapi bukan oleh penjaga anak-anak.
"Mungkin timbul persepsi bahawa masyarakat mengamalkan sikap talam dua muka dalam hal ini, dengan pihak penjaga dikehendaki patuhi lebih daripada piawaian terendah,” kata Dr Annabelle Chow, ahli psikologi klinikal dengan Annabelle Kids. “Pada pendapat saya, masyarakat harus memastikan ibu bapa dan penyedia khidmat jagaan terus patuhi piawaian paling minimum.
"Ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka selamat dari segi fizikal dan emosi semasa berada di prasekolah. Tetapi mereka mungkin tidak menganggap hukuman rotan di rumah sebagai tindak balas yang mencederakan dari segi fizikal," katanya. "Dalam semua situasi, ibu bapa atau penjaga tidak boleh mendera atau mengabaikan kanak-kanak secara fizikal atau emosi."
Tambahan, tidak kira siapa yang memperlakukan kekasaran ke atas kanak-kanak, baik ibu bapa atau guru prasekolah, kesan undang-undangnya adalah sama ke atas pelakunya, kata Dr Chin. Perbezaannya, kata beliau, adalah kepercayaan yang dipegang dalam masyarakat. Ibu bapa yang bertindak kasar terhadap anak-anak mereka kerap dianggap sebagai baik dan bertindak atas dasar kasih sayang terhadap anak-anak mereka.
Bagi seorang kanak-kanak itu, "kesan paling segera ialah kejutan dan kebimbangan akibat diperlakukan secara kasar,” kata Chen. "Mesej yang dihantar kepada kanak-kanak itu adalah tidak ada ruang selamat dan dia juga perlu bersikap kasar untuk mendapatkan sesuatu."
Kesengitan emosinya itu menjadi semakin mendalam apabila perlakuan kasar ke atasnya terus berulang, tambahnya. Ini juga mengukuhkan lagi perasaan kanak-kanak itu bahawa dunianya tidak selamat.
Kesan penderaan fizikal berpanjangan yang dialami oleh kanak-kanak boleh pergi lebih jauh lagi dalam kehidupannya, menurut laman web Kementerian Sosial dan Pembangunan Keluarga. Di sekolah, mereka mungkin berkembang lebih perlahan daripada rakan sekelas dan mempunyai jangkauan perhatian yang rendah dan keputusan yang buruk.
Mereka juga bakal menghadapi cabaran lain seperti sukar untuk menjalin persahabatan dan hubungan rapat dengan ahli keluarga dan pasangan romantis di kemudian hari.
Jika kanak-kanak sering ditangani secara kasar, ia juga boleh mewujudkan kesan yang serupa seperti seorang yang pernah mengalami hukuman fizikal. Ini kerana kanak-kanak itu juga mengalami pelbagai tekanan, keresahan dan rasa tidak berdaya sama sekali, kata Chen.
Malah, emosi yang kuat ini boleh mengubah struktur otak dan sistem pengawalan tekanan kanak-kanak. “Ia akan menjejaskan tindak balas ketakutan kanak-kanak, keupayaan untuk mengawal emosi dan juga boleh menjejas kesihatannya. Individu-individu ini berkemungkinan terlibat dalam tingkah laku yang tidak sihat pada hari muka, seperti terlibat dalam pengambilan bahan terlarang atau mencederakan diri sendiri, semata-mata untuk mengawal emosi mereka."
Nasihat Dr Chin adalah ibu bapa haruslah berhati-hati dengan keadaan emosi anda apabila berhadapan dengan tingkah laku sukar anak-anak. Mereka perlu mengambil langkah untuk bertenang apabila diperlukan. "Ingatkan diri anda bahawa tingkah laku anak anda mungkin disebabkan oleh banyak sebab lain, seperti kekurangan kemahiran komunikasi atau pemahaman. Atau kerana ia tanda mereka ingin meneroka atau menunjukkan bahawa mereka perlukan keselesaan atau perlindungan."
Bayangkan situasi apabila anak anda melepaskan geram dalam gedung mainan. Dengan membayangkan demikian, “para ibu bapa boleh mengurangkan kesengitan rasa kecewa mereka dan lebih memfokus kepada cuba memahami sesuatu situasi itu,” kata Dr Chin.
Dr Chow mempunyai kata kunci untuk membantu ibu bapa mengawal diri: Amalkan sikap berjeda. "Apabila kita berjeda, kita meletakkan ruang antara perasaan kita yang sedang sengit, seperti rasa marah dan apa-apa reaksi lain. Ini membantu kita mengurangkan kemungkinan bertindak kasar terhadap anak-anak akibat luahan emosi kita."
Apabila anda sudah bersedia untuk menangani situasi itu, buatlah penilaian terhadap sebab-sebab yang mungkin menyebabkan kanak-kanak itu melepaskan geram, dan atasi situasi itu, kata Dr Chin. "Pastikan perhatian anak anda tertumpu kepada anda sebelum bercakap dengannya," katanya. Ia termasuklah kita sendiri membongkok atau duduk supaya mata anda separas dengan mata anak anda.
"Seboleh-bolehnya, cegahlah berlakunya sesuatu keadaan dengan memberitahu anak anda terlebih dahulu tentang tingkah laku bagaimana yang diharapkan," kata Dr Chin. "Beri anak anda pandangan yang mencukupi sebelum dia menyelesaikan sesuatu, terutamanya yang dia suka lakukan, untuk mengurangkan berlakunya sesuatu keadaan emosi yang tidak terkawal.”
Cara anda mengendalikan emosi anda sendiri juga membentuk asas contoh bagi anak anda dalam mengawal perasaannya. "Bagaimana ibu bapa menunjukkan penyelesaian masalah kepada anak-anak mereka dalam situasi yang sukar dan mengawal perasaan marah, rassa kecewa atau rasa sedih adalah lebih berkesan daripada sekadar menuturkan atau mengulanginya," kata Dr Chow.
Satu cara untuk mengajar kanak-kanak bagaimana untuk mengenal pasti dan mengurus emosi, kata Dr Chow, adalah dengan menggunakan sistem lampu isyarat: Merah bermaksud berhenti (perasaan yang sangat sengit), jingga bermaksud tunggu (tegang, mudah marah, perasaan meningkat) dan hijau bermakna boleh lalu (gembira).
“Sebagai contoh, dalam situasi di mana kita berada di zon merah (sangat marah), kita boleh memberitahu anak-anak kita bahawa 'Ibu sekarang dalam zon merah sekarang. Saya akan mandi sekarang dan kita boleh bercakap nanti'."
Tetapi sebelum ini, sempadan dan akibatnya perlu dibincangkan dan dilukis, kata Dr Chow. “Kanak-kanak menguji sempadan dan memerhati akibat daripada tindakan mereka. Akibatnya perlu dijelaskan dan dikuatkuasakan secara konsisten. Ini membantu kanak-kanak menyedari bahawa sempadan tertentu tidak boleh dirunding, termasuk tingkah laku yang menyakiti orang lain atau merosakkan harta benda.”
Jangan lupa juga untuk memberikan pujian apabila anak anda berlaku betul – dan jelaskan perkara yang dipuji anda. Sebagai contoh, ucapkan "terima kasih kerana membersihkan pinggan anda selepas makan" semasa anak anda mengangkat pinggan untuk dicuci.
"Berilah pujian semasa perbuatan betul dilakukan dan bukan selepas perbuatan itu," kata Dr Chow. “Selain itu, pandanglah pada usaha yang diambil anak anda dan bukannya pada kegagalannya untuk mencapai sesuatu. Ini mengukuhkan idea baginya untuk mencuba dan berusaha lagi, dengan hasilnya tidak selalu menjadi faktor penting. Senario ini juga boleh membantu dalam mengukuhkan pentingnya mereka meminta bantuan jika memerlukannya."
Bagaimana seorang kanak-kanak menghuraikan emosinya yang kuat selepas diperlakukan secara kasar bergantung kepada daya tahannya.
"Persekitaran sosial yang stabil dan menyokong" yang terdiri daripada hubungan selamat antara kanak-kanak dan ibu bapanya, datuk nenek dan guru boleh mengukuhkan daya tahannya itu, kata Dr Chin. "Kanak-kanak perlu berasa selamat dan disokong untuk meneroka dunia dan tahu bahawa dia boleh dengan mudah beralih kepada sokongan sosialnya untuk mendapatkan perlindungan dan keselesaan apabila diperlukan."
Bagi kerosakan (emosi) akibat tindakan dikasari, pemulihannya bergantung pada sejauh mana tempoh kekerasan itu berlangsung, kata Dr Chow. "Kesan kerosakan boleh berbeza-beza tetapi tidak semestinya tidak boleh dipulihkan."
Dr Chin menasihatkan supaya ibu bapa memproses bersama anak-anak mereka untuk meneroka kesannya ke atas si anak dan untuk "membolehkan si anak memahami bahawa bukan dia yang bersalah". Ini juga peluang untuk mengajarnya cara melindungi dirinya daripada situasi sedemikian pada masa hadapan, katanya.
"Binalah harga diri anak-anak itu, termasuk menunjukkan kekuatannya, supaya ini boleh menguatkan kepercayaan diri bahawa dia cukup baik."
Jika anda tidak pasti bagaimana untuk melakukannya, dapatkan bantuan daripada ahli psikologi atau ahli terapi kanak-kanak, kata Dr Chow. "Ia mungkin mengambil masa untuk menyokong kanak-kanak dalam mempelajari tentang menjalin hubungan yang sihat, kepercayaan atau keterikatan. Tetapi menerusi interaksi positif yang konsisten dan disiplin yang sesuai, ia boleh dilakukan."
Sekiranya ibu bapa dan pihak penjaga sendiri mahu mempelajari cara berkesan dan bukan fizikal untuk memastikan pematuhan anak-anak, mereka boleh mendapatkan sumber-sumber online, kelas-kelas latihan dan maklumat kumpulan sokongan ibu bapa yang boleh disertai, kata Dr Chow.
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.