Advertisement

Malaysia

Tak kenal lelah dalam merawat: Inilah kisah pakar bedah saraf pediatrik wanita di Singapura

Dr Sharon Low menjalankan pembedahan otak dan tulang belakang yang rumit dan segera pada kanak-kanak di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (KKH), dengan jadual kerja sehingga 15 jam sehari. Beliau berkongsi dengan CNA Women apa yang memberi inspirasi kepadanya untuk bertugas tanpa kenal penat lelah.

Tak kenal lelah dalam merawat: Inilah kisah pakar bedah saraf pediatrik wanita di Singapura
Salah seorang daripada tiga pakar bedah saraf pediatrik di Singapura, Dr Sharon Low melakukan antara satu hingga lima pembedahan pada pesakit muda setiap minggu. (Gambar: CNA/Aik Chen)
22 Sep 2023 02:01PM

SINGAPURA: Sesi temu bual dengan Dr Sharon Low pada awalnya dijadualkan pada pagi Isnin. Namun pertemuan itu ditangguhkan pada saat-saat akhir kerana pakar bedah saraf pediatrik di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) Singapura ini terpaksa melakukan pembedahan kecemasan otak ke atas seorang kanak-kanak. 

Apabila saya akhirnya dapat berjumpa dengan Dr Low di pejabatnya pada keesokan harinya, tentu saja perkara pertama yang saya tanya adalah mengenai perkara tersebut.

"Seorang kanak-kanak telah dirujuk ke sini kerana ibunya menyedari bahawa dia selalu jatuh ke satu sisi. Selepas menjalani MRI, mereka dapati terdapat tumor otak dengan hidrosefalus, keadaan di mana terdapat cecair berlebihan yang terkumpul di dalam otak," katanya.

Pengumpulan cecair yang ketara telah menyebabkan tekanan tinggi pada otak kanak-kanak terbabit dan pembedahan segera diperlukan untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Dr Low mengatur agar pembedahan dibuat dalam masa 24 jam. 

Satu lubang kecil dibuat pada tengkorak kanak-kanak tersebut, dan satu lagi pembukaan kecil dibuat di bahagian otak yang lain untuk membolehkan cecair berlebihan mengalir sambil mengurangkan tekanan tinggi di dalam otak. Pada masa yang sama, tisu diambil daripada tumor untuk ujian.

RUTIN SEORANG PAKAR BEDAH SARAF

Pembedahan yang berisiko tinggi dan sensitif dengan masa adalah perkara biasa bagi pakar bedah saraf berusia 46 tahun ini. Sebagai Ketua Perkhidmatan Pembedahan Saraf di KKH, beliau melakukan antara satu hingga lima pembedahan seperti itu setiap minggu.

Sebenarnya, pembedahan yang baru saja dikongsi dengan CNA Women dianggap sebagai prosedur yang agak mudah dalam dunia pembedahan saraf, jelas Dr Low. Ia diselesaikan dalam masa kira-kira satu jam.

"Dalam pembedahan saraf, kebanyakan kes adalah sensitif terhadap masa," kata Dr Low (kanan), yang sebagai pakar bedah saraf pediatrik, kerap menjalankan pembedahan kecemasan untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak. (Gambar: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK)

Bidang pembedahan saraf dikenali dengan kepakaran yang lebih rumit kerana ia melibatkan otak dan saraf tunjang, katanya. Pembedahan tumor otak yang rumit mungkin mengambil masa empat hingga enam jam. Bagaimanapun, Dr Low pernah melakukan pembedahan yang berlangsung selama 20 jam.

"Pesakit itu adalah seorang kanak-kanak yang sangat muda dengan tumor besar dan ganas yang merentasi otak melalui pangkal tengkorak dan masuk ke hidung. Ia adalah usaha bersama antara saya, pakar bedah ENT (telinga, hidung dan tekak) dan pakar bedah plastik untuk mengeluarkan tumor dan ‘membina’ semula wajahnya,” katanya. 

Dr Low berkata beliau adalah salah seorang daripada tiga pakar bedah saraf pediatrik khusus di Singapura, yang semuanya berpangkalan di KKH. Beliau adalah satu-satunya wanita dalam kalangan mereka. Pakar bedah saraf lain yang khususnya merawat orang dewasa boleh menawarkan pembedahan saraf pediatrik sebagai bidang sub-kepakaran.

Pesakit-pesakitnya merangkumi mereka yang baru lahir hingga berusia 19 tahun. Beliau merawat tumor otak dan tulang belakang, hidrosefalus, kecederaan kepala, dan penyakit lain yang melibatkan otak dan saraf tunjang seperti sista otak, jangkitan otak, dan kecacatan kelahiran tertentu. 

Dalam pembedahan saraf, tiada ruang untuk membuat kesilapan. "Jika anda menyebabkan kecederaan pada mana-mana struktur otak atau tulang belakang, pesakit mungkin akan lumpuh, berada dalam keadaan tidak aktif atau mati," kata Dr Low, sambil menyatakan bahawa ini tidak pernah berlaku di KKH.

Ini juga sebabnya mengapa premium insurans perubatan untuk pakar bedah saraf adalah salah satu daripada yang tertinggi di antara semua kepakaran, tambahnya. 

Waktu kerja juga panjang. “Semasa saya mula berlatih, mereka memberitahu saya bahawa ini adalah salah satu kepakaran di mana anda tidak dapat pulang ke rumah,” katanya sambil ketawa.

Ini adalah salah satu sebab mengapa pembedahan saraf bukan pilihan popular dalam kalangan pelajar perubatan. Di Singapura, hanya terdapat 50 lebih pakar bedah saraf. Daripada jumlah ini, kira-kira 10 peratus adalah wanita.

Malah, Dr Low berkata beliau adalah pakar bedah saraf wanita kedua di Singapura – yang pertama adalah dari United Kingdom. Beliau memulakan kerjayanya pada 2016 dan tiga pakar bedah saraf wanita yang lain menyertai bidang ini selepas itu. Jadi hari ini, terdapat lima pakar bedah saraf wanita yang bekerja di Singapura, katanya.

Dr Sharon Low adalah pakar bedah saraf wanita kedua yang menyertai kepakaran ini di Singapura, dan telah membuka jalan bagi lebih ramai wanita untuk menyumbang dalam bidang itu. (Gambar: CNA/Aik Chen)

Dr Low terus mendorong dirinya dalam bidang itu, dengan bangun tidur pada seawal 4.30 pagi setiap hari dan mengakhiri hari kerjanya sekitar pukul 10 malam atau 11 malam. Beliau membahagikan masa antara pembedahan, melawat pesakit di klinik, membuat kerja penyelidikan, merancang tenaga kerja, pendidikan dan latihan, serta tugas pentadbiran lain sebagai ketua perkhidmatan pembedahan saraf di KKH.

Sebulan sekali, dia akan berjumpa pesakit di klinik dewasa di Hospital Tan Tock Seng, dan dia juga merawat pesakit tumor otak dewasa yang dirujuk kepadanya di Hospital Besar Singapura secara ad hoc.

KEKAL BERHARAP WALAU SUKAR

Apabila ia berkaitan dengan tumor otak, kadang-kadang harapan boleh menjadi suram. Salah satu aspek yang paling sukar dalam pekerjaan Dr Low adalah berkongsi berita buruk dengan ibu bapa dan berbincang mengenai pilihan rawatan perubatan yang ada.

“Jika anda berusia 60 tahun, misalnya, anda telah menjalani kehidupan yang memuaskan dan didiagnosis dengan penyakit pembawa maut, penerimaannya mungkin tidak mudah, tetapi ia tidak akan terlalu buruk kerana anda telah menjalani sebahagian besar kehidupan anda. 

"Tetapi jika anda berusia enam tahun, anda baru bermula, dan saya terpaksa memberitahu anda bahawa ia adalah penyakit pembawa maut atau prognosis yang sangat buruk, anda boleh bayangkan betapa sukarnya berita ini untuk diterima oleh ibu bapa," katanya.

Doktor pun malah merasai perasaan kehilangan dengan sangat mendalam. “Semasa saya lebih aktif melakukan pembedahan saraf terhadap pesakit dewasa, saya sudah menganggap yang nyawa manusia adalah singkat. Tetapi melakukan pembedahan saraf pediatrik membuat saya sedar bahawa kehidupan boleh menjadi lebih pendek daripada apa yang anda fikirkan,” katanya.

Namun begitu, walaupun dalam kes prognosis yang buruk, Dr Low tetap berjuang melawan segala rintangan.

"Saya pernah merawat seorang kanak-kanak yang menghidap kanser otak yang sangat sukar, di mana jangka hayatnya hanya kira-kira dua tahun, jadi semua orang menjangkakan dia akan meninggal dunia. Dia seorang kanak-kanak yang hebat, dan ia amat menyedihkan kerana ibunya memberitahu kami bahawa mereka berusaha keras untuk hamil sebelum mereka berpeluang memilikinya," cerita Dr Low.

"Apa yang membuatkan saya sangat gembira adalah dia masih hidup hingga hari ini, enam tahun selepas pembedahan, dan telah beralih menjadi dewasa berkat kemajuan dalam ubat-ubatan," tambah Dr Low, yang terus memantau ramai pesakitnya yang menghidap tumor otak walaupun mereka tidak lagi berada di bawah jagaannya.

Dr Low dengan tekad mahu melawan segala halangan yang dilihat mustahil dalam perkembangan bidang itu sehinggakan beliau secara aktif menyumbang dalam kajian tumor otak kanak-kanak itu. 

“Kami mengumpul sisa tumor yang tidak diperlukan oleh pakar patologi dan cuba memahami biologi mereka di makmal untuk mengetahui apa yang mencetuskan pertumbuhan mereka, apa yang membuat mereka membesar lebih cepat, apa yang membunuh mereka,” katanya.

Beliau percaya bahawa penyelidikan sedemikian boleh memberi perbezaan dalam kaedah tumor otak dirawat pada masa akan datang. 

"Pada masa lalu, pakar bedah saraf terlalu bergantung dengan (cara) mengeluarkan tumor secara keseluruhan dengan sebanyak mungkin kerana tiada ubat untuk ‘mencairkan’ tumor. 

“Tetapi sekarang, terdapat lebih banyak pilihan untuk beberapa tumor otak dan dengan lebih banyak penyelidikan, pembedahan agresif mungkin bukan lagi pilihan utama apabila merawat tumor otak pada masa akan datang," katanya.

Dr Low mendapati bidang pediatrik sesuatu kerjaya yang memuaskan kerana ketabahan kanak-kanak dan kegembiraan yang jelas terpancar dari wajah mereka. (Gambar: CNA/Aik Chen)

Dr Low, yang sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak berkata pesakit muda dan ibu bapa merekalah yang memberi inspirasi dan motivasi kepadanya. 

"Saya melihat betapa kuatnya ibu bapa berkorban untuk anak-anak mereka, melepaskan apa saja yang mereka perlu hanya untuk bersama anak mereka hari demi hari semasa mereka menjalani rawatan.

“Sebilangan daripada mereka berhenti kerja, ada di antara mereka yang mengambil cuti kerja, ada yang memindahkan seluruh pejabat mereka ke bilik hospital, dan bekerja semasa anak sedang tidur.

“Mereka tidak berputus asa walau apa pun. Saya tidak sekuat berbanding mereka,” katanya sambil terkenang kembali saat memilukan itu. 

Membuat pusingan wad juga sesuatu yang sangat memuaskan. “Kanak-kanak pada umumnya tidak tahu apa yang sedang berlaku dan tidak akan berhenti bergembira walaupun mereka benar-benar sakit. Mereka tetap comel seperti biasa," katanya.

"Ramai kanak-kanak yang saya jaga adalah sangat kuat, baik secara fizikal mahupun mental," tambahnya dengan penuh kasih sayang. “Entah bagaimana, mereka dapat menahan kesakitan dan meneruskan kehidupan tanpa kerumitan emosi yang mungkin dialami oleh orang dewasa.” 

“Bekerja dengan kanak-kanak membuatkan saya sedar bahawa mereka boleh mengatasi segala kemungkinan," katanya.

Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris

Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai nyamuk Wolbachia sudah yang dilepaskan di Singapura untuk tangani kes denggi. 

Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.

Source: CNA/nm(ih)

Advertisement

Also worth reading

Advertisement