Encik Nor Syazwan, 27 tahun, berharap dengan adanya sebuah galeri masyarakat ia akan dapat mengabadikan kisah-kisah para penduduk, supaya para pengunjung ke Pulau Ubin akan lebih mengetahui cara hidup mereka.
SINGAPURA - Mengimbas kembali saat beliau menjejaki Pulau Ubin buat pertama kali pada tahun 2003, Encik Nor Syazwan Abdul Majid masih ingat dengan jelas beliau berbasikal bersama ibunya dan melewati beberapa pondok usang sebelum berhenti dekat rumah di mana ibunya membesar.
Pada hari itu, ibunya, Cik Noor Riah Sulong, memberitahu Encik Syazwan bahawa beliau adalah keturunan penduduk Pulau Ubin.
Cik Riah lahir pada tahun 1959 di Pulau Tekong, sebelum keluarganya berpindah ke Pulau Ubin pada tahun yang sama untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik.
Beliau tinggal di Pulau Ubin selama 20 tahun, sebelum berkahwin dan berpindah ke tanah besar Singapura.
Cik Riah, kini 64 tahun, terus mengunjungi ibu dan dua adik beradiknya di Pulau Ubin pada hujung minggu, sehinggalah semua anggota keluarga beliau berpindah ke tanah besar Singapura pada tahun 1990-an.
Walaupun Encik Syazwan, kini 27 tahun, mengetahui tentang asal usulnya sewaktu kecil, minatnya terhadap pulau itu menjadi lebih mendalam hanya sewaktu beliau menjalani Perkhidmatan Negara, katanya kepada TODAY pada Ahad (6 Ogos).
"Saya mula terfikir sedikit tentang arah tujuan hidup saya," kata Encik Syazwan, seorang mahasiswa di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura, yang sedang memburu ijazah sarjana muda dalam bidang kerja sosial dengan bidang sosiologi sebagai mata pelajaran minor.
"Ketika itulah saya teringat kisah-kisah yang diceritakan ibu saya sewaktu membesar di pulau itu dan saya tergerak untuk ingin tahu lebih lanjut lagi."
Sifat ingin tahu Encik Syazwan telah mendorongnya untuk mencari tapak lama rumah datuk dan neneknya dan mengetahui lebih lanjut tentang warisan beliau. Pada tahun 2018, beliau telah memulakan "Jurnal Ubin oleh Wan" di beberapa platform media sosial.
"Saya mula berinteraksi secara lebih kerap dengan penduduk di sini. Inilah cara saya menjalin semula hubungan dengan asal usul saya dan masyarakat yang telah lama terpisah dari diri saya," kata beliau.
Secara kebetulan pada tahun 2018, Lembaga Taman Negara (NParks) mengumumkan bahawa ia mahu mendapatkan usulan masyarakat untuk membaik pulih lima buah rumah di Pulau Ubin, yang salah satunya hanya dikenali sebagai 'Rumah 6J’ di Kampung Sungei Durian.
Encik Syazwan dengan ghairah menyahut panggilan itu.
Menerusi perbualannya dengan penduduk Pulau Ubin, beliau menyedari bahawa tempat itu tidak mempunyai ruang solat dan tapak warisan untuk masyarakat Islam.
Beliau juga pernah membantu menguruskan jenazah bagi beberapa anggota keluarga dan masyarakat, dan ini mendorong beliau untuk melestarikan warisan tersebut.
"Saya sedar bahawa sebaik sahaja mereka semua meninggalkan kita, kisah sejarah mereka akan terus hilang. Kita tidak akan dapat mengabadikan segala pengetahuan yang telah disampaikan secara turun-temurun dari satu generasi ke satu generasi," katanya.
Dengan semua ini dalam fikirannya, ia membantu Encik Syazwan melahirkan visinya untuk Rumah 6J – untuk menjadikannya sebagai sebuah galeri masyarakat dan ruang solat.
"Mudah-mudahan dengan terbinanya sebuah galeri masyarakat, kami dapat mengabadikan kisah-kisah itu supaya orang ramai yang mengunjungi ruang ini di pulau tersebut akan lebih mengetahui cara hidup kami," kata beliau.
Beliau menghantar usulannya kepada NParks melalui rangkaian masyarakat Friends Of Ubin, dan saranannya itu telah diterima pada dasarnya.
Pada tahun 2019, semasa Encik Syazwan bekerja di NParks sebagai pegawai perhubungan masyarakat, beliau berkenalan dengan bakal teman seperjuangannya, Encik Raja Mohd Fairuz, seorang jurubina dan pensyarah politeknik yang telah menjalankan kelas penyelidikan dalam reka bentuk penyertaan mengenai seni bina Pulau Ubin.
Encik Syazwan mendekati Encik Raja dengan rancangan awalnya untuk Rumah 6J, dan mereka dengan cepat dapat menjalin kerjasama kerana kedua-duanya mengongsi minat yang sama.
Kini, mereka berganding bahu untuk menerajui projek tersebut.
Mereka kini mencari lebih ramai sukarelawan bagi projek itu. Selepas mendapatkan sukarelawan, penyelidikan lapangan akan dilakukan di Pulau Ubin bersama-sama para penduduknya sebelum lakaran reka bentuk dan anggaran kos permulaan dibentangkan kepada NParks.
Dengan projek ini, Encik Syazwan berharap dapat mengenang penduduk Pulau Ubin dan membantu mereka mengembalikan rasa bangga terhadap pulau itu.
Beliau juga berharap dapat mendidik pengunjung ke pulau itu.
"Kami harap mereka tidak hanya melihat Pulau Ubin sebagai ruang alam semula jadi, tetapi juga sebagai tempat yang kaya dengan warisan dan budaya, supaya mereka akan lebih menghargai bahagian Singapura ini yang biasanya terlepas pandang orang ramai," katanya.
Encik Syazwan mula mengundang sukarelawan belia pada 1 Ogos melalui pelbagai halaman media sosial beliau, dengan pencariannya tertumpu kepada mereka yang mempunyai latar belakang bidang seni bina, penyelidikan atau publisiti.
Beliau telah menerima lebih 30 permohonan sepanjang beberapa hari.
Ini bukanlah projek pertama Encik Syazwan di Pulau Ubin.
Pada tahun 2019, beliau memulakan projek “Pembersihan Kampung WUJ”, yang dinamakan semula sebagai "Projek Gotong Royong" pada tahun 2022, iaitu satu kegiatan bulanan di mana para sukarelawan membantu penduduk menjaga dan membersihkan kampung mereka.
Encik Syazwan berkata penduduk pulau yang semakin menua adalah salah satu sebab beliau memulakan projek ini, kerana penduduk berusia senja akan memerlukan lebih banyak bantuan dengan kerja-kerja penyenggaraan.
"Ini termasuk melonggokkan daun-daun kering, membuang barang terpakai, dan paling utama, mengindahkan kawasan kampung supaya ia kelihatan agak lebih teratur dan kemas untuk pengunjung pulau itu."
Pada Disember 2020, Encik Syazwan juga mula menawarkan khidmat berbayar "Pendakian Warisan WUJ", di mana beliau membawa para peserta merentasi Pulau Ubin, sambil berkongsi pengetahuannya yang mendalam tentang kekayaan budaya dan warisan pulau itu melalui sudut pandangan masyarakat 'orang pulau'.
Untuk meraikan Hari Ubin 2023, yang jatuh pada 24 Jun setiap tahun, Encik Syazwan menawarkan khidmat warisannya secara percuma untuk membawa 70 peserta pergi meneroka pulau itu.
Beberapa orang penduduk dan bekas penduduk Kampung Sungei Durian di Pulau Ubin berkata mereka menyokong usaha Encik Syazwan sambil berkata pelestarian budaya dan warisan tempat itu adalah satu usaha penting.
Encik Othman, 78 tahun, yang tinggal di salah sebuah rumah di Kampung Sungei Durian bersama isterinya, berkata bahawa kehidupan di Pulau Ubin adalah sesuatu yang asing bagi kebanyakan orang.
"Satu sebab mengapa saya masih ada banyak stamina ialah saya tinggal di kampung. Di sini ada keamanan dan ketenteraman. Apabila anda berada di sini, udara terasa lebih segar dan anda rasa lebih tenang," kata Encik Othman, yang menggunakan satu nama sahaja.
Encik Abdul Malek Salleh, 68 tahun, yang pernah tinggal di Kampung Sungei Durian sebelum berpindah ke tanah besar Singapura pada tahun 2000, percaya bahawa usaha memaparkan pengalaman hidup penduduk kampung itu adalah penting.
"Saya rasa senang sekali dengan projek ini. Ia akan menonjolkan perjuangan, kerja keras, budaya dan warisan masyarakat Melayu di Kampung Sungei Durian dan Pulau Ubin."
Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.
Baca juga artikel Bahasa Melayu ini mengenai harapan dan cabaran seorang pemain bolasepak wanita Singapura untuk menjadi pemain profesional.
Ikuti CNA di Facebook dan Twitter untuk lebih banyak artikel.